fbpx
TERTUDUH didakwa di Mahkamah Khas Trafik Kuantan di Kuantan hari ini.

Tiga wanita ‘Superman’ didakwa di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Tiga wanita yang tular melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal di Jalan Bypass Kuantan di sini pada 16 Julai lalu didakwa di Mahkamah Khas Trafik Kuantan di sini hari ini.

Bagaimanapun hanya dua wanita mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Wahidah Zainal Abidin.

Tertuduh, Nur Liana Atirah Roslan, 21, membuat pengakuan tidak bersalah manakala dua lagi tertuduh berusia 18 dan 19 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dalam cara melakukan aksi merbahaya iaitu melakukan aksi ‘Superman’ dari arah Terminal Sentral Kuantan menuju ke arah Bukit Rangin, Jalan Kuantan Bypass, di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 16 Julai lalu.

Nur Liana dan dua lagi tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000 jika didapati bersalah.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh tidak kurang dua tahun untuk sabitan pertama, 10 tahun untuk sabitan kedua selain lesen percubaan akan dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam prosiding Pegawai Pendakwa, Inspektor Noraini Mohd Nor memohon mahkamah meletakkan jaminan RM5,000 manakala Nur Liana dalam rayuannya merayu jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai aiskrim dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan bagi tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sementara itu, dua lagi tertuduh masing-masing berusia 19 dan 18 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan serupa, mahkamah menetapkan tarikh 26 Ogos depan untuk Laporan Sosial dan Laporan Akhlak masing-masing berikutan tertuduh dikategorikan sebagai pesalah muda dan bawah umur.

Bagi tertuduh berusia 19 tahun, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 manakala tertuduh berusia 18 tahun, jaminan sebanyak RM2,000 masing-masing dari seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN