KUALA LUMPUR – Kejohanan ragbi sekolah, VI Premier 10s yang sudah memasuki edisi ke-15 terus menjadi salah satu medan mencungkil bakat muda apabila bakal menghimpunkan 48 buah pasukan dalam kategori bawah 15 (B-15) dan bawah 17 (B-17) dari seluruh negara.
Kejohanan yang dianjurkan Victoria Institution Gallados Rugby Club itu dijadualkan berlangsung di Victoria Institution Green bermula 31 Julai hingga 2 Ogos depan dan bakal menjanjikan persaingan sengit.
Pengerusi VI Premier 10s, Nik Mohd. Sidek Nik Jaafar berkata, kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan merebut kejuaraan, malah peluang untuk setiap pemain menonjolkan kemampuan kepada pencari bakat.
“Kejohanan ini kini diiktiraf setaraf dengan kejohanan utama sekolah lain. Ramai pencari bakat akan hadir dan menilai pemain berpotensi,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar majlis pelancaran dan undian di sini, semalam.
Sementara itu, pengarah kejohanan, Adri Mustaqim Amrul Hazarin menjelaskan, edisi tahun ini menyaksikan beberapa pembaharuan dilakukan, termasuk undian secara terbuka bagi memastikan setiap pasukan memiliki peluang sama rata.
Pada masa sama, aspek keselamatan setiap pemain juga diambil berat apabila pihak penganjur menyediakan doktor kejohanan serta ambulans selain mewajibkan penggunaan pelindung kepala dan mulut.
“Semua pasukan yang bertanding adalah antara yang terbaik di Malaysia dan saya yakin setiap kumpulan akan menjanjikan persaingan yang lebih kompetitif,” ujarnya.
Bagi memeriahkan lagi penganjuran edisi kali ini, kejohanan itu turut diwarnai dengan konsep karnival yang melibatkan pelbagai aktiviti, gerai penaja selain perlawanan disiarkan secara langsung.
Antara pasukan yang akan beraksi pada edisi kali ini termasuklah Victoria Institution (VI), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Maktab Tentera Diraja (MTD) serta beberapa lagi pasukan. – KOSMO! ONLINE














