fbpx
Hussein.

Habuan lumayan jadi umpan, daftar masuk saat akhir helah keldai dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Habuan kewangan lumayan selain taktik mendaftar masuk penerbangan pada saat akhir atau ketika waktu puncak dikenal pasti antara helah sindiket dadah antarabangsa untuk melepasi kawalan keselamatan di lapangan terbang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket terus berani mengambil risiko menggunakan taktik tersebut walaupun kawalan keselamatan di lapangan terbang semakin dipertingkatkan.

Katanya, keuntungan besar daripada aktiviti penyeludupan dadah mendorong sindiket terus mencuba pelbagai kaedah bagi mengelak sistem pengesanan pihak berkuasa.

“Mereka terus mencuba dan mengharapkan ada kealpaan atau kegagalan sistem pengesanan pihak berkuasa lapangan terbang.

“Antara taktik ialah mendaftar masuk pada saat akhir atau ketika waktu puncak,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi antara laluan utama pilihan sindiket antarabangsa berikutan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.

Jelasnya, JSJN bersama agensi penguatkuasaan lain sentiasa memperkukuhkan kawalan, risikan dan pemeriksaan keselamatan bagi mengesan serta menggagalkan cubaan penyeludupan dadah.

Hussein berkata, sindiket turut menggunakan pelbagai helah untuk memperdaya individu supaya menjadi keldai dadah.

Katanya, antara umpan digunakan ialah ganjaran kewangan yang tinggi, tawaran pekerjaan di luar negara serta pakej percutian percuma.

“Sindiket turut menyasarkan individu yang berdepan tekanan kewangan atau kurang kesedaran mengenai risiko jenayah ini.

“Ada mangsa yang diperdaya membawa barangan tertentu tanpa mengetahui kandungan sebenar,” katanya.

Beliau berkata, dadah juga disorok secara kreatif di dalam bagasi, pakaian dan barangan peribadi selain menggunakan kaedah body packing bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang mencurigakan.

Pada 4 Julai lalu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dari Sarawak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau selepas disyaki cuba menyeludup hampir tiga kilogram heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta yang disorokkan di dalam tin berlabel pes tuna bersama biskut di dalam bagasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN