MILAN – Bagi menaikkan semula reputasi pasukan selain memburu tempat ke Euro 2028, Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) dikatakan bersedia untuk mendapatkan khidmat bekas pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Selepas gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang sudah melabuhkan tirainya Isnin lalu, Gennaro Gattuso mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih pasukan itu.
Presiden FIGC yang baru dilantik, Giovanni Malago diberikan tanggungjawab bagi mencari pengganti Gattuso sebagai jurulatih baharu The Azzurri dan beliau dikatakan sudah mengadakan perbincangan bersama Guardiola.
“Setakat ini nama yang berlegar-legar di ruangan akhbar adalah Pep Guardiola dan mungkin pasukan akan buat pengecualian. Bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada ia boleh membuahkan hasil ataupun tidak.
“Apa pun, saya percaya kami perlu kekal berhubung (dengan Guardiola) supaya perbincangan itu tidak mati. Bukan kami tidak hormat calon lain, tetapi kami perlu buat keputusan terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, bola sepak Itali sedang berdepan era kejatuhan apabila sudah gagal melayakkan diri ke Piala Dunia tiga kali berturut-turut dengan penampilan terakhir mereka adalah pada edisi 2014 di Brazil.
Justeru, atas sebab itu FIGC sedia untuk memecah tradisi dengan mendapatkan Guardiola memandangkan Itali tidak pernah melantik orang luar selain rakyat mereka sendiri sebagai jurulatih pasukan kebangsaan. – AGENSI














