KLANG – Status representasi kes dadah membabitkan pembantu makmal yang memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33, ditetapkan pada 28 Ogos depan.
Tarikh baharu itu ditetapkan Majistret Nor Azilah Mat dalam prosiding pengurusan kes pagi tadi.
Peguam Aravind Raj mewakili tertuduh, R. Saktygaanapathy, 28, berkata, pihaknya perlu meneliti semua dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan.
Jelasnya, dokumen yang diserahkan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rabiul Awal Ishak itu meliputi dokumen bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Justeru, pihak pembelaan memerlukan masa bagi meneliti keseluruhan dokumen berkenaan. Kami akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada memasukkan representasi atau tidak nanti,” katanya ketika ditemui selepas prosiding itu.
Mengikut pertuduhan pindaan, Saktygaanapathy didakwa memberi dirinya dadah disyaki jenis
11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam badan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, pukul 3.30 petang, 29 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan perintah pengawasan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding di mahkamah berasingan, Majistret A. Khartiyayini menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh sebutan kes bunuh bagi mendapatkan status laporan patologi.
Saktygaanapathy didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Allahyarham Amirul Hafiz maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta pada pukul 10.40 pagi.
Lebih menyayat hati, insiden itu berlaku ketika Amirul keluar bagi membeli buku matematik untuk anak sulungnya. – KOSMO! ONLINE














