fbpx
Beberapa buah motosikal mengalami kerosakan selepas dirempuh kenderaan di Jalan Santuari Utama, Wangsa Maju awal pagi semalam.

Pemandu hilang kawalan, rempuh motosikal parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu mengelak sebuah motosikal keluar dari simpang mengakibatkan keretanya hilang kawalan sebelum merempuh beberapa motosikal di parkir bahu jalan di Jalan Santuari Utama, Wangsa Maju awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan yang turut tular di media sosial itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun.

“Siasatan mendapati pemandu sedang memandu di lorong paling kiri dari arah Prima Setapak menghala ke Wangsa Maju sebelum bertindak mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang di sebelah kanan.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar beberapa motosikal yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

“Bagaimanapun, identiti pemilik motosikal yang terlibat masih dalam proses dikesan,” ujarnya.

Menurut beliau, polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan pemandu, mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian, mengesan pemilik motosikal yang terlibat serta mencari saksi bebas bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Sehubungan itu, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN