KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka China selepas menewaskan pemain India, H.S. Prannoy.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini, bekas juara remaja Asia itu menampilkan aksi cukup baik apabila menang straight-set 21-10, 21-14.
Kemenangan itu menyaksikan Jun Hao mengulangi pencapaian sama seperti dua kejohanan terdahulu, iaitu Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun tetapi gagal untuk mara jauh.
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Jun Hao berkata, dia menampilkan aksi cukup baik, terutamanya ketika mengawal gelanggang selain dapat mengeluarkan permainan sebenar.
“Hari ini saya rasa corak permainan saya lebih baik. Saya dapat mengawal gelanggang dan bermain dengan lebih konsisten.
“Memang agak sukar untuk mengawal keadaan gelanggang tetapi ini merupakan kali pertama saya bermain di sini, jadi saya hanya buat persiapan terbaik,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menjelang pusingan kedua Khamis ini, Jun Hao dijadualkan bertemu pemain China, Weng Hong Yang yang menewaskan Anders Antonsen dari Denmark 15-21, 21-17, 22-20.
Turut meneruskan kemaraan adalah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik yang menewaskan rakan sepasukan, Arif Junaidi-Kang Khai Xing 21-12, 21-15. – KOSMO! ONLINE














