fbpx
Kemajuan digital dikatakan menghakis kecintaan Gen Z dan Gen Alpha terhadap bahasa ibunda sendiri. - Gambar hiasan

Gen Z, Alpha fasih digital tapi lemah bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI hujung jari generasi hari ini, dunia terbentang luas tanpa sempadan. Satu sentuhan pada skrin telefon pintar mampu membawa mereka mengembara merentas benua, budaya dan bahasa.

Di sebalik ledakan teknologi itu, muncul satu persoalan sama ada kemajuan digital sedang menghakis kecintaan Gen Z dan Gen Alpha terhadap bahasa ibunda sendiri

Kemerosotan itu dikesan menerusi kelemahan membina ayat, mengolah hujah, menulis secara baku dan memahami keindahan sastera Melayu.

Menurut Guru Bahasa Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fawiz Bakri, tanggapan bahawa Gen Z dan Gen Alpha semakin lemah menguasai bahasa ibunda mempunyai asas tertentu, namun tidak boleh disamaratakan kepada keseluruhan generasi.

“Generasi muda masih mampu menggunakan bahasa ibunda dalam komunikasi harian, namun kemahiran menggunakan bahasa Melayu baku, khususnya dalam penulisan, pembentangan rasmi dan komunikasi akademik semakin menunjukkan penurunan.

“Pendedahan berterusan kepada kandungan digital berbahasa ringkas, bahasa rojak dan singkatan menyebabkan kosa kata menjadi semakin terhad, struktur ayat kurang mantap serta kesalahan tatabahasa semakin kerap berlaku.

“Justeru, isu sebenar bukan kehilangan bahasa ibunda, sebaliknya penyusutan kecekapan menguasai bahasa Melayu standard,” katanya kepada Kosmo!.

Jelasnya, gajet serta media sosial bukan punca mutlak, sebaliknya sekadar medium, manakala keluarga dan sistem pendidikan menentukan cara medium itu dimanfaatkan.

“Dahulu, rumah menjadi ruang utama pemerolehan bahasa. Kini, interaksi keluarga digantikan dengan telefon pintar dan media sosial.

“Platform seperti TikTok, Instagram serta permainan dalam talian menggalakkan penggunaan bahasa pantas, ringkas dan bercampur-aduk. Lama-kelamaan, bentuk bahasa tersebut menjadi kebiasaan dalam pertuturan serta penulisan harian.

“Penyelesaiannya memerlukan kerjasama tiga pihak, iaitu keluarga sebagai asas pembentukan bahasa, sekolah sebagai pengukuh kemahiran dan media sebagai pembentuk budaya bahasa positif,” ujarnya.

Fawiz berkata, kemerosotan bahasa ibunda bukan sekadar menjejaskan komunikasi, malah mampu menghakis identiti bangsa serta melemahkan sistem pendidikan negara.

“Dalam jangka panjang, kita mungkin melahirkan generasi yang sangat cekap berkomunikasi di alam digital, namun kurang berupaya berkomunikasi secara profesional, ilmiah dan akademik,” ujarnya.

Melihat kecenderungan Gen Alpha menggunakan bahasa rojak serta bahasa digital, Fawiz berpandangan ia perlu dinilai secara objektif tanpa melabelnya sebagai ancaman.

“Kita risau jika bahasa rojak digunakan tanpa mengambil kira konteks sehingga menggantikan bahasa Melayu baku dalam urusan rasmi.

“Matlamat sebenar bukan menghapuskan bahasa digital, tapi melahirkan generasi yang mempunyai kecekapan dwigaya bahasa, iaitu mampu menggunakan bahasa santai dalam situasi tidak formal dan bahasa Melayu baku apabila keadaan memerlukannya,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN