SPA-FRANCORCHAMPS – Pelumba muda Mercedes, Kimi Antonelli berjaya menamatkan kemarau tiga perlumbaan tanpa kemenangan apabila muncul juara di Grand Prix (GP) Belgium, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu Formula Satu (F1).
Pelumba Itali berusia 19 tahun itu melebarkan jurang kepada di puncak kejuaraan dunia ketika pencabar utama Lewis Hamilton pula kini berada di tangga kedua keseluruhan, 45 mata di belakang Antonelli.
Antonelli mengakui lega dapat kembali ke tangga teratas selepas melalui tiga perlumbaan yang mengecewakan, sambil menyifatkan kemenangan di Litar Spa-Francorchamps itu sebagai antara yang paling sukar dalam kariernya.
“Memang seronok dapat kembali ke tangga teratas selepas beberapa perlumbaan yang sukar. Kami kehilangan kedudukan pendahuluan ketika Virtual Safety Car, tetapi berjaya merampasnya semula. Ia kemenangan yang sukar kerana Charles (Leclerc) sangat pantas,” katanya.
Antonelli turut mengakui dia bernasib baik apabila rakan sepasukan, George Russell gagal menamatkan perlumbaan, namun menegaskan setiap peluang perlu dimanfaatkan dalam perebutan kejuaraan dunia.
“Dari sudut perebutan kejuaraan, agak bertuah dengan apa yang berlaku. Tetapi, itulah sebabnya setiap peluang perlu dimanfaatkan kerana keadaan boleh berubah dengan cepat. Sekarang saya hanya perlu terus konsisten dan mengutip mata,” katanya.
Leclerc menamatkan saingan di tempat kedua dan mengakui Ferrari memperoleh sedikit kelebihan ketika Virtual Safety Car, namun percaya pasukannya semakin hampir untuk kembali mencabar kemenangan selepas menunjukkan peningkatan prestasi.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga, manakala Hamilton menduduki tempat keempat apabila dikenakan penalti lima saat kerana menyebabkan kemalangan melibatkan Russell. – AGENSI














