MELAKA – Sebahagian bangunan rumah kedai di Jalan Laksamana 5, Taman Kota Laksamana di sini runtuh kira-kira pukul 4.45 petang tadi sehingga menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran mengalami kerosakan.
Kejadian itu turut mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai dengan bunyi dentuman kuat yang boleh didengari dari kawasan sekitar.
Seorang peniaga, Hong Hiew Khim, 56, berkata, dia menyedari bangunan itu kelihatan senget kira-kira 15 minit sebelum ia runtuh.
“Saya nampak bangunan itu mula senget lalu beritahu isteri saya yang saya bimbang ia akan tumbang. Tak sampai 15 minit kemudian, tiba-tiba terdengar bunyi yang sangat kuat, macam gempa bumi sebelum bangunan itu runtuh depan mata,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.
Tinjauan Kosmo! di lokasi turut mendapati beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran turut mengalami kerosakan akibat dihempap runtuhan bangunan.
Sementara itu, seorang penduduk, Howard How, 50, mendakwa sebelum kejadian dia ada melihat tiga pekerja warga asing sedang menjalankan kerja di bahagian luar bangunan berkenaan.
“Ramai terus keluar dari premis masing-masing untuk melihat apa yang berlaku. Memang terkejut sebab bangunan itu runtuh dalam sekelip mata,” katanya.
Setakat ini, pasukan bomba dan agensi berkaitan masih berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta kerja-kerja mengamankan kawasan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














