KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang diculik untuk wang tebusan RM7 juta berjaya diselamatkan polis dalam tempoh kurang 48 jam menerusi operasi khas di sebuah unit kediaman di I-City, Shah Alam, Selangor awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi yang dijalankan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Selangor itu turut membawa kepada penahanan enam individu.
Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun.
“Pada semalam kira-kira pukul 1.30 pagi, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 46 tahun memaklumkan suaminya telah diculik dan suspek menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta.
“Susulan itu, satu operasi khas dilancarkan sebelum mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 1 pagi hari ini di sebuah unit kediaman di kawasan I-City, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap semua individu yang ditahan.
“Mahkamah turut membenarkan permohonan reman terhadap kesemua suspek selama 10 hari mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961,” ujarnya.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis serta memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi. – KOSMO! ONLINE














