TOKYO – Seorang pegawai kerajaan, Noboru Watanabe hadir bekerja dengan memakai seluar pendek disebabkan cuaca panas lembap, lapor agensi berita Japan Today.
Langkah itu dianggap luar biasa di Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan etika berpakaian sut formal sebagai satu norma.
Namun, kelonggaran kod etika pakaian diperkenalkan ketika pejabat-pejabat di Jepun mula mengurangkan penggunaan penyaman udara ekoran lonjakan kos tenaga disebabkan konflik Asia Barat.
Selasa lalu, ketika suhu di Tokyo mencecah 34 darjah Celsius, sekurang-kurangnya lima kakitangan lelaki di pejabat Watanabe mengambil langkah berani menukar sut kerja mereka kepada seluar pendek.
Watanabe, 50, berkata kepada AFP bahawa pada mulanya, dia agak segan untuk mendedahkan kakinya di tempat kerja.
“Tetapi apabila anda sudah mula memakainya, barulah anda sedar betapa selesanya berseluar pendek,” katanya yang masih memakai kemeja formal jika keadaan memerlukan.
Inisiatif membenarkan seluar pendek itu diumumkan pada musim bunga tahun ini oleh Gabenor Tokyo, Yuriko Koike dengan alasan “prospek bekalan elektrik yang mencabar” sebagai punca utama. – AGENSI














