GEORGE TOWN – “Sekurang-kurangnya saya dapat melihat wajah anak buat kali terakhir dan tahu di mana dia berada. Doa saya dimakbulkan.”
Demikian luahan seorang ibu, Salmah Shamsudin, 72, yang reda dengan pemergian anak lelakinya, Shahir Zainul, 46, selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, 11 Jun lalu.
Akui warga emas itu, penemuan mayat anak bongsunya itu, sekali gus menamatkan penantian penuh harapan mereka sejak lebih sebulan lalu.
“Pada mulanya mak cik jadi tak percaya apa yang diberitahu oleh kawan anak apabila mereka minta pergi ke hospital malam tadi dan sangka dia masih hidup.
“Ingatkan dia cuma sakit, mak cik rasa lega sikit akhirnya dapat jumpa dia. Tapi, apabila tiba di hospital, mak cik dimaklumkan yang sudah tiada…makcik terkejut.
“Cucu terus menangis sebab depa (mereka) tak sangka akan dapat berita macam ni,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini.
Beritahu Salmah lagi, dia sendiri yang membuat pengecaman jenazah anaknya itu dan reda dengan ketentuan Allah.
“Saya dapat cam wajah Shahir kerana mukanya tidak banyak berubah. Saya kenal tahi lalat di bahagian kiri muka, sama macam saya (tahi lalat di sebelah kiri juga. Memang itu dia” ujarnya.
Beritahu Salmah lagi, Shahir berubah penyayang dan mengambil berat terhadapnya terutama anak-anak sejak beberapa minggu sebelum dia keluar dari kediaman mereka di Bukit Gedung, 10 Jun lalu.
“Saya rasa lega dan dapat terima hakikat.Sebelum ini saya risau memikirkan keadaannya. Sekarang saya reda. Allah sudah tentukan,” katanya sebak. -KOSMO! ONLINE














