PETALING JAYA – Suasana pagi Sabtu dirasai lebih sejuk dan mendung di kebanyakan kawasan susulan hujan lebat serta ribut petir yang melanda beberapa negeri sejak awal pagi tadi.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam amaran terbaharunya memaklumkan, ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Pahang sehingga pukul 11 pagi.
Kawasan terlibat adalah Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan.
“Di Perak, amaran dikeluarkan bagi daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak serta Kuala Kangsar, sementara Kuantan menjadi satu-satunya kawasan terlibat di Pahang,” katanya.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir sehingga pukul 9 pagi melibatkan beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Di Selangor, antara kawasan yang terlibat adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
Keadaan hujan serta langit mendung itu turut menyebabkan suhu pagi lebih nyaman, terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung. – KOSMO! ONLINE














