HAMPIR tiga dekad mengukuhkan nama dalam arena seni suara dengan membawa pulang pelbagai anugerah, Dayang Nurfaizah kini berada dalam kelas tersendiri.
Turut disenaraikan antara penyanyi gred A negara, pemilik vokal gemersik itu tidak pernah bermegah, sebaliknya kekal membumi.
Tidak hairan apabila pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, itu dilihat memenuhi pelbagai undangan persembahan termasuk di majlis perkahwinan.
Baginya, selagi khidmat serta nyanyiannya masih diperlukan, dia akan terus menghiburkan penonton dengan sepenuh hati tanpa mengira lokasi atau skala sesebuah acara.
“Pada saya, setiap persembahan nyanyian itu mempunyai nilai tersendiri tanpa mengira lokasi atau jenis majlis yang dihadiri. Cukup untuk saya bersyukur masih ada rezeki.
“Apabila orang masih memerlukan khidmat saya untuk menjadi sebahagian daripada penghibur hari penting mereka, apa salahnya terima.
“Secara peribadi, saya anggap majlis perkahwinan merupakan detik yang sangat bermakna buat pasangan pengantin serta orang sekelilingnya,” katanya kepada HibGlam.
Malah, penyanyi yang empat kali dinobatkan trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) itu mengakui bertuah diberi peluang mencipta kenangan indah bersama pengantin dan tetamu.
“Apabila saya dijemput untuk menyanyi, sebenarnya saya rasa bertuah kerana dapat menghiburkan pengantin dan semua yang hadir pada hari istimewa itu.
“Itu juga satu pengalaman yang cukup bermakna dan meninggalkan antara momen istimewa buat diri saya,” ujarnya.
Atas keterbukaan tampil di pelbagai acara, segelintir pihak melabelnya sebagai penyanyi majlis makan malam atau kenduri, namun Dayang sedikit pun tidak berkecil hati.
Baginya, setiap individu bebas memberikan pandangan, namun dia lebih selesa memandang positif setiap tawaran yang diterima.
“Kalau ada yang mahu melabel saya sebagai penyanyi acara makan malam atau majlis perkahwinan, saya tidak kisah. Itu hak masing-masing.
“Paling penting saya masih diberi peluang untuk berkarya dan mencari rezeki secara halal. Ini juga bermakna peminat muzik masih ingin mendengar nyanyian saya,” ungkapnya.
Rancang konsert
Bagi anak jati Bumi Kenyalang itu, sebesar mana pun nama seseorang artis, kerendahan hati dan rasa syukur terhadap rezeki perkara paling utama dalam memastikan perjalanan seni terus diberkati.
Berkongsi perkembangan kerjaya seni, Dayang berkata, dia masih mempertimbangkan perancangan sama ada mahu tampil dengan single baharu, album atau merealisasikan impian mengadakan konsert mega.
Penyanyi yang kali terakhir mengadakan persembahan menerusi Janji With Dayang di KL Tower, Oktober tahun lalu itu berkata, dia enggan terburu-buru membuat keputusan.
“Memang ada beberapa penganjur datang berbincang, tetapi saya tidak mahu sekadar buat. Konsert hal penting bagi seorang penyanyi.
“Kalau nak buat konsert, perlu ada konsep. Saya mahu teroka apa lagi yang boleh dipersembahkan kepada peminat,” kongsinya.
Terbaharu, Dayang turut menempah tempat ke pentas akhir AJL edisi ke-40 dengan mempertaruhkan lagu Lemah ciptaan dan lirik Hael Husaini.














