SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan manifesto bersama dengan Barisan Nasional (BN) akan dilancarkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan kekal sebagai satu kemungkinan.
“Itu satu kemungkinan,” katanya dalam sidang akhbar ketika ditanya sama ada manifesto PRN Negeri Sembilan akan dibuat secara bersama dengan BN.
Beliau turut tidak menafikan kerjasama antara PN dan BN berpotensi diperkukuhkan pada masa depan.
“Saya tak menafikan, itu adalah ke arah yang lebih baik,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, formula kerjasama yang diguna pakai pada PRN Negeri Sembilan berbeza dengan pilihan raya lain dan diyakini mampu memberikan keputusan lebih baik.
Katanya, kedua-dua pihak mempunyai persefahaman berhubung pendekatan kempen, namun butiran mengenainya hanya akan diperincikan selepas penamaan calon. – KOSMO! ONLINE














