PETALING JAYA – Peminat sanggup berpanas dan berhujan selama berjam-jam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini, demi melihat dua pelakon Thailand, Tawan Vihokratana dan Pond Naravit.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat membanjiri kawasan sekitar The Starhill sejak awal pagi bagi menantikan ketibaan Tawan dan Pond yang menghadiri acara sebuah jenama antarabangsa berlangsung pukul 5 petang.
Menerusi satu hantaran oleh pengguna TikTok, @Missnraisyh_, dia meluahkan rasa terkejut melihat kesungguhan peminat yang sanggup berpanasan di luar pusat beli-belah Bukit Bintang.
“Ya Allah, rajinnya orang kita menunggu panas-panas ni. Bila ditanya, ada artis nak datang. Itu dia, sanggup,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat mengakui mereka hadir awal pagi demi mendapatkan lokasi terbaik untuk melihat pelakon tersebut.
“Datang awal sebelum Pavillion buka lagi untuk dapat pemandangan terbaik,” komen @Thresiana.
“Subuh dah terpacak di situ demi Tawan dan Pond,” tulis seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE














