PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Raub) dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Serian (Serian), Samarahan (Simunjan), Kapit, Bintulu (Sebauh), Miri dan Limbang.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Sandakan) dan Kudat.
Cuaca buruk sama juga dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














