fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik oleh @Fareezshah10 di laman Threads.

Pasar raya lain buat hal, AEON pula yang hulur bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketika sebuah pasar raya menerima kecaman susulan insiden seorang wanita hamil didakwa mencuri kerana bentuk perutnya, sebuah lagi rangkaian pasar raya tampil menghulurkan bantuan sebagai tanda sokongan kepada pasangan tersebut.

Menerusi hantaran di laman Threads oleh @Fareezshah10, dia memaklumkan AEON Retail Malaysia telah menghubunginya secara peribadi bagi menyatakan simpati terhadap kejadian yang menimpa dia dan isterinya yang kini hamil 38 minggu.

Menurutnya, pihak AEON turut menawarkan pasangan itu memilih keperluan bayi di mana-mana cawangannya sebagai tanda keprihatinan terhadap kesukaran yang mereka alami.

“Terima kasih @Aeonretail.my kerana menghubungi kami dengan penuh belas ihsan dan kemurahan hati. Keprihatinan ini amat bermakna buat kami dan kami benar-benar menghargai empati yang ditunjukkan,” katanya.

Dalam mesej yang dikongsikan, AEON memaklumkan mereka amat sedih mengetahui kejadian yang dialami pasangan itu dan berharap sumbangan tersebut dapat memberi sedikit kelegaan.

“Kami tahu tiada kata-kata atau bantuan yang mampu menghilangkan kesedihan dan trauma yang dialami, namun kami ingin anda tahu bahawa doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda,” ujarnya.

Hantaran tersebut turut mengundang pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang memuji tindakan AEON kerana menghubungi pasangan itu secara peribadi tanpa menjadikannya sebagai bahan publisiti.

Pengguna @Absolutely_azrihimself berkata, tindakan syarikat itu membuktikan masih ada organisasi yang mengutamakan nilai kemanusiaan.

“AEON menunjukkan simpati dan empati melalui tawaran yang sangat bermurah hati. Ramai rakyat Malaysia pasti tersenyum melihat kebaikan seperti ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Rinamohideen333, berkata perkara yang paling menyentuh hati bukanlah nilai bantuan diberikan, sebaliknya keikhlasan AEON menghubungi pasangan itu secara tertutup.

“Ini bukan soal pampasan, tetapi soal keikhlasan. Kami akan sentiasa mengingati mesej bahawa ‘anda tidak bersendirian, kami bersama anda’,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki mendakwa isterinya yang hamil 38 minggu diperlakukan seperti penjenayah apabila ditahan kakitangan sebuah pasar raya di Selayang kerana disyaki menyembunyikan barangan curi di dalam perutnya. Wanita itu turut didakwa diminta menunjukkan buku rekod kehamilannya sebelum akhirnya pihak pasar raya mengakui tiada sebarang bukti berlaku kecurian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN