KLANG – Tindakan seorang individu dipercayai ejen mengugut untuk menembak pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, penahanan ke atas lelaki tempatan berusia 46 tahun itu dibuat pada hari sama selepas menerima laporan daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran AKPS.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah. Setakat ini kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang pegawai AKPS diugut tembak oleh individu dipercayai ejen ketika melaksanakan tugas rasmi. – KOSMO! ONLINE















