fbpx
Gambar hiasan.

Dakwaan anggota rogol, TDM ambil tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tentera Darat Malaysia (TDM) memandang serius penularan dakwaan serta kandungan di media sosial yang didakwa berunsur fitnah, tidak berasas dan berpotensi menjejaskan reputasi anggota, rantaian pemerintahan serta imej organisasi itu.

Menurut TDM, isu berkaitan dakwaan ‘anggota TDM telah merogol, mencabul dan bersetubuh’ yang tular sejak tahun 2024 sehingga kini telah diberi perhatian menerusi siasatan dalaman.

Hasil siasatan mendapati aduan yang disebarkan menerusi platform media sosial tersebut bercanggah dengan fakta sebenar.

“Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat oleh anggota yang terlibat berhubung isu berkenaan. Selain itu, pegawai dan anggota terlibat turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TDM turut menyatakan tindakan pengadu menggunakan media sosial sebagai medium pelaporan adalah tidak profesional dan dilihat seolah-olah cuba mencemarkan imej organisasi tersebut.

Menurut TDM, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pengadu berhubung tuduhan jenayah sebagaimana dakwaan yang tular.

Dalam perkembangan sama, TDM memaklumkan akaun tersebut yang memuat naik dakwaan berkenaan telah lenyap dan dipadamkan daripada media sosial.

TDM menegaskan budaya ‘trial by viral’ atau perbicaraan melalui penularan di media sosial tidak boleh dinormalisasikan kerana setiap dakwaan perlu dikemukakan melalui saluran yang sah.

“TDM akan menggunakan segala instrumen undang-undang sivil dan jenayah bagi mengekang gejala ini.

“Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan melalui saluran yang sah supaya dapat disiasat secara adil, telus dan mengikut lunas undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN