MADRID – Seramai 12 daripada 13 mangsa yang maut dalam kebakaran hutan di rantau Andalusia, selatan Sepanyol terdiri daripada warga asing, kata pihak berkuasa semalam selepas prosedur bedah siasat selesai.
Seorang pegawai tempatan berkata, tujuh mangsa adalah dari United Kingdom, tiga dari Belgium dan masing-masing seorang warga Perancis serta Amerika Syarikat. Mangsa terakhir pula warga tempatan.
“Semua 13 korban terdiri daripada lapan wanita dan lima lelaki, semuanya juga orang dewasa,,” kata agensi awam yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti mangsa.
Kebakaran hutan bermula Khamis lalu di wilayah Almeria, rantau Andalusia. Wilayah itu menempatkan banyak kediaman warga asing dekat pantai Mediterranean.
Perkhidmatan kecemasan pada mulanya menemui 12 mayat rentung dan memerlukan sampel DNA untuk mengenal pasti identiti mangsa.
Kebakaran itu adalah antara paling buruk di Sepanyol dan berpunca daripada kabel elektrik yang jatuh di jalan raya. Api memusnahkan kira-kira 7,000 hektar tanah.
Pada 2025, lebih 393,000 hektar kawasan musnah akibat kebakaran hutan, kemusnahan paling luas dalam sejarah modern Sepanyol. – AFP















