fbpx
Gambar hiasan

Isu teknikal punca insiden tren di Laluan Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rapid KL mengesahkan hasil siasatan mendapati insiden melibatkan sebuah tren di Stesen Stadium Shah Alam, Laluan Shah Alam pada 4 Julai lalu berpunca daripada isu teknikal pada salah satu komponen tren yang bersentuhan dengan konduktor kuasa.

Rapid KL dalam kenyataan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.05 malam itu menyebabkan bunyi letupan kecil serta percikan api.

Menurutnya, susulan kejadian berkenaan, tren terbabit telah dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan.

“Semua penumpang telah diturunkan di stesen berikutnya dan meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, manakala operasi perkhidmatan di Laluan Shah Alam terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Rapid KL berkata, tren berkenaan kemudiannya dibawa ke depoh untuk menjalani pemeriksaan terperinci.

Katanya, komponen tren yang mengalami isu teknikal itu telah diganti dan tren berkenaan dibenarkan kembali beroperasi selepas melalui pemeriksaan serta disahkan selamat untuk perkhidmatan.

“Rapid KL sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang serta memandang serius insiden yang melibatkan operasi perkhidmatan.

“Pemeriksaan dan pemantauan terhadap tren-tren lain turut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Dalam pada itu, penumpang disaran merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE untuk mendapatkan status terkini perkhidmatan Laluan Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN