REMBAU – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, permintaan terhadap buluh bagi kegunaan memasang bendera parti politik kembali melonjak sehingga memberi rezeki kepada penduduk setempat.
Seorang pembekal buluh, Mohd. Izal Ibrahim, 44, berkata, setiap kali musim pilihan raya, permintaan terhadap buluh meningkat kerana digunakan bagi memasang bendera dan bahan kempen.
Menurut Ketua Kampung Selemak itu, dia sudah berpengalaman membekalkan buluh untuk kali kedua semasa pilihan raya.
“Untuk PRN kali ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota mahu 4,000 batang buluh, manakala DUN Chembong pula boleh mencecah 5,000 batang.
“Permintaan ini meningkat sekali ganda berbanding pilihan raya yang lalu sekitar 2,000 batang sahaja. Harapan saya sudah tentu mahu melihat Pakatan Harapan (PH) menang dan suasana kempen kali ini lebih meriah berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, buluh yang dijual diperoleh dari kawasan kebun selepas mendapat kebenaran pemilik tanah sebelum dipotong mengikut saiz yang dikehendaki.
“Buluh sepanjang kira-kira 10 kaki (3 meter) ke bawah dijual pada harga RM1.20 sebatang, manakala yang lebih panjang sekitar RM1.50. Selepas ditolak kos, untung bersih bagi setiap batang hanya sekitar 50 sen, namun jika dapat membekalkan sehingga 4,000 batang, hasilnya tetap berbaloi,” katanya.
Mohd. Izal berkata, kerja mendapatkan buluh bukan semudah yang disangka kerana kebanyakannya berada jauh di dalam kebun sehingga memerlukan tenaga tambahan untuk mengeluarkannya.
“Ada buluh yang perlu ditarik keluar sejauh hampir 200 meter sebelum boleh dimuatkan ke dalam lori atau kenderaan lain. Orang nampak macam mudah, tetapi sebenarnya badan boleh penuh miang dan gatal.
“Saya menggaji empat pekerja untuk menebang dan mengeluarkan buluh. Kerja biasanya dimulakan seminggu lebih awal bagi memastikan bekalan mencukupi untuk setiap pusat daerah mengundi (PDM),” tambahnya. -KOSMO! ONLINE















