PETALING JAYA – Pencipta kandungan YouTube dan pengkritik bola sepak tempatan, Azizurrahman Zakaria mendakwa diserang dua lelaki tidak dikenali sehingga mengalami keretakan pada tulang rongga mata dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Sri Damansara di sini, Ahad lalu.
Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Joe Zakaria, ketika kejadian dia sedang mengisi angin tayar keretanya di sebuah stesen minyak Caltex sebelum didatangi dua individu yang terus menyerangnya tanpa sebarang amaran.
“Saya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen Caltex Sri Damansara apabila secara tiba-tiba dua lelaki menyerang saya tanpa sebarang amaran,” katanya.
Joe berkata, dia ditendang di bahagian kepala dan ditumbuk beberapa kali sebelum tindakan ganas itu berjaya dihentikan selepas seorang lelaki tampil membantu.
“Ketika hendak beredar, salah seorang penyerang menjerit, ‘Inilah orang yang mencuri. Inilah orang yang mencuri.’
“Saya bertanya kepada mereka, ‘Apa yang saya curi?’ tetapi mereka tidak menjawab dan terus berjalan pergi. Itulah satu-satunya kata-kata yang diucapkan mereka sepanjang kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, dia masih berada dalam keadaan terkejut dan trauma susulan insiden tersebut.
“Saya tidak mempunyai sebarang pertikaian peribadi atau musuh dengan sesiapa. Saya tidak berhutang dengan along, tidak mengganggu rumah tangga orang dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan gangsterisme berkaitan lalu lintas. Tiada motif yang jelas untuk serangan ini,” katanya.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
“Bagaimanapun, saya berulang kali menerima ugutan dan maklumat peribadi saya turut disebarkan di platform X menerusi hantaran berkaitan bola sepak Malaysia.
“Dalam keadaan ini, saya percaya adalah penting supaya setiap sudut kemungkinan disiasat dengan teliti,” katanya.
Tambah beliau, keganasan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa tanpa mengira keadaan.
“Jika serangan ini ada kaitan dengan pandangan dan pendapat yang saya kongsikan di media sosial mengenai bola sepak Malaysia, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Perbezaan pendapat seharusnya dihormati dan dibincangkan menerusi dialog, bukannya ugutan atau keganasan. Keganasan bukanlah penyelesaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE















