fbpx
WAKIL-WAKIL pasukan yang hadir pada majlis undian yang berlangsung di Wisma MOM hari ini.

Kejohanan NRDP medan bentuk skuad ke Kejohanan Asia B-18

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kejohanan 7 Sebelah (7’s) Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) Bawah 18 Tahun (B-18) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 25 dan 26 Julai ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pemain.

Ia berikutan kejohanan itu bakal menjadi medan pemilihan untuk skuad B-18 lelaki dan wanita negara menjelang Kejohanan Ragbi B-18 Asia yang akan berlangsung di Qingdao, China pada 5 dan 6 September depan.

Setiausaha Agung Ragbi Malaysia (MR), Mohd. Fahmy Abd. Jalil berkata, selain meletakkan sasaran podium di kejohanan Asia nanti, aksi di Qingdao juga mampu menjadi medan pendedahan untuk pemain-pemain menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2028.

“KPI (petunjuk prestasi utama) yang diltakkan kepada kita pada kejohanan Asia B-18 nanti adalah untuk berada di podium. Ia juga boleh menjadi medan untuk pemain-pemain dan pasukan mempersiapkan diri ke arah Sukma 2028.

“Mereka juga akan melalui proses kepada B-20 sebelum melangkah ke pasukan senior untuk temasya Sukan SEA (Malaysia) tahun depan. Ia akan membuka peluang kepada jurulatih untuk memiliki lebih ramai bakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Undian Kejohanan NRDP B-18 yang berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden MR, Amir Amri Mohamad menjelaskan, penganjuran semula kejohanan tersebut oleh pihaknya selepas empat tahun dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) bakal memberikan nafas baharu kepada program pembangunan.

“Sebelum ini, kejohanan diadakan mengikut zon tetapi tahun ini kita kembali kepada format negeri. Pasukan yang muncul juara di peringkat negeri akan mewakili negeri masing-masing ke kejohanan kebangsaan,” ujarnya.

Pada kejohanan kali ini, sebanyak 32 pasukan melibatkan 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bakal mengambil bahagian dengan lebih 400 pemain dari seluruh negara akan berentap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN