fbpx
Impak Beasley terlalu besar kerana kejayaan yang dinikmati hari ini bermula daripada usaha jurulatih dari Australia itu.

Sukar cari pengganti Beasley

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketiadaan Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, John Beasley selepas kontraknya berakhir pada Januari depan meninggalkan persoalan lebih besar iaitu siapakah yang benar-benar mampu menyambung legasinya.

Beasley bukan sekadar melahirkan pelumba bertaraf dunia, malah membina satu sistem yang menjadikan Malaysia antara kuasa besar di pentas antarabangsa.

Justeru, apabila pengundurannya semakin hampir, kebimbangan atlet dan barisan kejurulatihan ialah adakah negara memiliki individu yang benar-benar setanding dengannya.

Hakikatnya, sehingga kini belum ada yang diyakini mampu mengisi kekosongan itu, malah mereka yang paling lama bekerja bersama Beasley sendiri mengakui sukar mencari penggantinya.

Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri menghormati keputusan Beasley biarpun berat untuk menerima hakikat tersebut.

“Kalau ikutkan hati, memang dia mahu menghabiskan kariernya di sini dan bersara bersama pasukan ini. Tetapi saya faham dia menerima tawaran di luar negara dan keadaan memaksa dia membuat keputusan itu,” katanya.

Menurut Harnizam, hubungan yang terjalin selama 16 tahun menjadikan kehilangan Beasley bukan sekadar membabitkan seorang rakan sekerja, malah individu yang banyak mencorakkan pembangunan berbasikal trek negara.

“Banyak sangat yang kami lalui bersama sepanjang membangunkan program ini,” ujarnya.

Beliau berkata, impak Beasley terlalu besar kerana kejayaan yang dinikmati hari ini bermula daripada usaha jurulatih dari Australia itu memperjuangkan pembangunan sukan berbasikal trek termasuk pembinaan Velodrom Nasional Malaysia.

“Velodrom ini pun wujud kerana perjuangan dia. Dia yang banyak berusaha dahulu dan apabila Azizulhasni mula mencipta keputusan, atlet-atlet lain turut menerima manfaat daripada kejayaan tersebut,” jelasnya.

Meskipun program negara perlu diteruskan, Harnizam mengakui banyak perkara perlu disusun semula termasuk aspek sains sukan yang selama ini banyak dibangunkan bersama Beasley.

“Kita tetap perlu meneruskan apa yang telah dia tinggalkan kerana pencapaiannya memang terlalu besar. Selepas ini kami perlu berbincang semula dengan pasukan termasuk bahagian sains sukan untuk melihat apa yang perlu diperbaharui,” katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya siapakah calon paling sesuai menggantikan Beasley, Harnizam memberikan jawapan yang cukup ringkas tetapi membawa makna besar.

“Saya tak nampak pun siapa-siapa,” katanya.

Jaguh pecut negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menegaskan pengganti Beasley jauh lebih penting daripada isu pemergian jurulatih berpengalaman itu sendiri.

“Kalau tanya saya, saya nak tanya balik dekat orang lain, siapa? Kalau dia nak ganti John, siapa yang mampu ganti dia? Itu soalan saya. Jangan tanya saya, tanya orang yang nak ganti dia itu, nak gantikan dengan siapa?

“Kalau ada yang kata bayaran dia (Beasly) tinggi, berapa pula kita sanggup bayar untuk jurulatih yang lebih baik?” katanya.

Hakikatnya, kebimbangan mengenai pengganti Beasley bukan sekadar bersandarkan kepada rekod kejayaannya, malah turut dipengaruhi sistem pembangunan yang dibina sepanjang lebih 20 tahun beliau menerajui program berbasikal trek negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN