fbpx
KHAIROL ZAYANA meminati bidang seni dan nyanyian ketika dibangku sekolah dan kini bakat yang ada dikembangkan lagi.

Bakat muzik, nyanyian Khairol Zayana bawa tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK berusia lapan tahun, minat Khairol Zayana Khairol Amzi dalam bidang kebudayaan sudah terserlah dengan menyertai pertandingan di peringkat sekolah.

Gadis berusia 23 tahun itu berpeluang menyertai pertandingan seperti nasyid, koir, syair, deklamasi sajak dan pertandingan nyanyian sehingga ke peringkat negeri.

Bagaimanapun, bakat Khairol Zayana dilihat lebih terserlah dalam bidang muzik dan nyanyian sehingga berjaya mendapat gelaran Bintang Convent ketika menuntut di Sekolah Convent Kajang, Selangor.

Kejayaan yang digapai oleh Khairol Zayana itu banyak didorong oleh ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepada minatnya.

“Saya meminati kebudayaan terumanya muzik dan nyanyian sejak di bangku sekolah rendah lagi. Bakat yang ada pada saya telah dikesan oleh seorang guru di sekolah.

“Guru berkenaan telah melatih saya untuk mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan kebudayaan,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Apabila melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu tetap meneruskan minatnya dengan menyertai kelab kebudayaan universiti berkenaan.

Menerusi kelab yang disertai sejak semester pertama, Khairol Zayana berpeluang mengadakan persembahan di dalam mahupun luar UniMAP bergantung kepada jemputan diterima.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu memaklumkan, kelab berkenaan juga menjadi platform kepadanya untuk mewakili UniMAP dalam beberapa pertandingan peringkat IPT.

“Selepas melangkah ke alam universiti, ada juga rasa malu untuk membuat persembahan di atas pentas lagi. Namun, saya fikir tidak ada salahnya untuk meneruskan minat ini sebagai hobi.

“Antara kejayaan diperoleh termasuk persembahan terbaik bagi Pertandingan Rentak Juara di Universiti Utara Malaysia serta tempat kedua Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia UniMAP,” katanya.

Dia juga diberi penghormatan menerima titah daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk mengetuai nyanyian lagu Negaraku dan lagu Wawasanku sewaktu Istiadat Konvokesyen UniMAP yang ke-14.

KHAIROL ZAYANA mempunyai kemampuan menyanyi dengan baik.

Hasil usaha membantu dan mengharumkan nama universiti, Khairol Zayana berjaya mendapat dianugerahkan sebagai Ikon Budaya Siswi UniMAP pada tahun 2019.

Selain itu, dia telah dipilih sebagai salah seorang peserta untuk diterbangkan ke Thailand bagi menyertai program Indonesia Malaysia Thailand-Growth Triangle (IMT-GT) 2019 di Walailak University, Thailand selama seminggu.

Sepanjang program tersebut, Khairol Zayana bersama band dari UniMAP telah diberi tangungjawab untuk mempersembahkan lagu-lagu tradisi negara ini kepada peserta.

“Pertandingan dan program yang disertai ini sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan tahap keyakinan saya apabila berhadapan dengan orang ramai,” ujar gadis selesa membawa lagu berentak pop dan balada.

Ketika ini, gadis berasal dari Ipoh, Perak itu dalam proses menyiapkan lagu single pertamanya hasil kolaborasi bersama Aura Record yang dijangka diterbitkan pada tahun ini.

Meskipun sibuk dengan aktiviti nyanyian di kampus, namun Khairol Zayana sama sekali tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang mahasiswa.

Jelasnya, dia mempunyai jadual khusus bagi membahagikan masa antara nyanyian dan aktiviti pembelajaran seperti mengulang kaji atau menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

“Biasanya, saya berlatih menyanyi bersama band pada sebelah malam. Jadi, jika ada tugasan daripada pensyarah saya perlu menyelesaikannya pada waktu siang.

“Saya juga bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang sangat membantu. Mereka sering mengingatkan saya sama ada tugasan diberikan pensyarah sudah siap atau belum.

“Kadang-kadang apabila terlalu fokus dengan latihan atau pertandingan nyanyian, saya terlepas pandang ada tugasan belum disiapkan,” ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik itu.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Khairol Zayana memaklumkan, dia tidak berhasrat untuk terlibat secara aktif dalam bidang nyanyian, sebaliknya mahu mencari pekerjaan tetap.

Katanya, dia ingin mencari pekerjaan dalam bidang dipelajari ketika ini iaitu kejuruteraan dan menjadikan nyanyian sebagai aktiviti sampingan masa lapang.

“Ketika ini, tidak mahu terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Saya mahu memberi fokus untuk mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN