IPOH – Pendekatan menyeluruh daripada masyarakat merupakan langkah penting bagi memantau pertumbuhan dan keadaan mental para pelajar sekolah di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, usaha tersebut penting di waktu negara berhadapan dengan isu-isu kesihatan mental membabitkan golongan tersebut ketika ini.
Beliau berkata, pendekatan menyeluruh dari masyarakat ataupun ‘whole society approach’ itu diterapkan di peringkat Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
“Kita juga menyeru pihak masyarakat dan ibu bapa agar kita sama-sama memberikan perhatian terhadap keadaan ataupun pembangunan anak-anak kita sama ada di dalam atau luar sekolah ataupun di rumah.
“Ia untuk kita sama-sama memastikan anak-anak itu membesar dengan sihat dan baik,” katanya kepada pemberita di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Chai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden-insiden membabitkan murid-murid sekolah seperti di Banting, Selangor dan Alor Gajah, Melaka.
Terdahulu, beliau berucap pada Majlis Perasmian Sistem Penjanaan Tenaga Solar NEM 3.0 di sekolah berkenaan.
Menurut laporan media, insiden di Banting membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menikam rakannya sebanyak 16 kali.
Sementara di Alor Gajah pula, seorang pelajar lelaki tingkatan satu mengejar tiga rakannya dengan pisau dipercayai berpunca daripada rasa berang selepas dibaling ais berulang kali oleh mangsa.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, pihaknya mengambil serius dengan kes-kes berkenaan, bahkan KPM telah pun memberikan arahan kepada semua JPN dan PPD supaya mematuhi segala garis panduan sedia ada dan melaporkan segala kes yang ada dengan segera.
Pada masa sama, katanya, mulai tahun lepas KPM telah pun mengambil tindakan agar semua usaha bagi menangani isu membabitkan kesihatan mental pelajar dapat ditangani secara berterusan.
“Tindakan yang diambil sama ada dari segi saringan, (mengenal pasti) kedudukan mental anak-anak, nasihat ataupun program-program yang melibatkan rakan-rakan sebaya, guru bimbingan dan kaunseling.
“Sememangnya kesemua usaha itu tetap berjalan dan terus berjalan sepanjang masa,” katanya.
Kah Woh berkata, antara langkah diambil pihak KPM termasuklah mewujudkan satu jawatankuasa khas melibatkan pihak seperti pemegang taruh serta masyarakat.
“Kita duduk bersama-sama dengan semua penegang taruh termasuklah pihak masyarakat untuk kita memantau dari semasa ke semasa untuk mengambil tindakan dan menangani isu di hadapan kita ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE















