MELAKA – Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Melaka berhampiran Yayasan Toh Puan Zurina di sini tengah malam kelmarin ditemukan tidak bernyawa pada pukul 9 pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi lelaki berusia 45 tahun itu terjatuh.
katanya, mayat lelaki itu dijumpai pihak polis berhampiran Jambatan Taman Rumpun Bahagia sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan operasi membawa naik ke daratan.
“Petugas Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian lelaki itu sebelum mayatnya diserahkan kepada polis.
“Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Masjid Tanah bersama Unit PPDA terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.03 tengah malam kelmarin. Kawasan pencarian dikecilkan selepas membuat penilaian sebelum ditangguhkan waktu malam atas faktor keselamatan dan persekitaran yang tidak mengizinkan. – KOSMO! ONLINE















