fbpx
Kereta mangsa yang terbabas di kanan jalan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 298.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban awal pagi tadi.

Saksi kemalangan maut di Lebuh Raya KL-Seremban dicari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis sedang mengesan saksi kejadian kemalangan maut yang mengorbankan seorang wanita selepas sebuah kereta dipercayai melanggar Perodua Bezza sebelum meninggalkan lokasi di Kilometer 298.8 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza berwarna coklat yang dinaiki tiga individu hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.

Menurutnya, kereta itu kemudian melanggar penghadang besi di bahagian kanan jalan sebelum berpusing di laluan.

“Selepas itu, sebuah kereta berwarna putih yang datang dari arah belakang melanggar Perodua Bezza tersebut sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang wanita warga tempatan berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, pemandu lelaki berusia 20 tahun dan seorang lagi penumpang lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan serta kini menerima rawatan di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Serdang.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis memohon mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd. Suod di talian 017-3818422,” katanya.

Tambah beliau, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN