JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi tiba di Istana Bukit Serene di sini hari ini bagi menghadiri Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Johor.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor tiba pada pukul 3.40 petang dengan menaiki kenderaan rasmi.
Onn Hafiz dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas BN memperoleh mandat besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 semalam.
Majlis istiadat itu dijadual berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, Onn Hafiz menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi di sini.
Turut mengiringi sesi menghadap itu ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada PRN Johor ke-16 semalam, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Di DUN Machap, Onn Hafiz berjaya mempertahankan kerusinya selepas memperoleh 20,382 undi untuk menewaskan calon PH, Nur Hafiz Roslan dengan majoriti 15,375 undi.-KOSMO! ONLINE















