PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membangkitkan persoalan dan nada sindiran berhubung dakwaan pihak Pakatan Harapan (PH) yang dikaitkan dengan kedudukannya.
Hantaran itu dipercayai sebagai maklum balas kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan semata-mata demi membebaskan bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Najib tampil mempersoalkan dakwaan pihak terbabit.
“Rasanya PH tak mungkin bohong pada rakyat Johor bahawa BN (Barisan Nasional) menang besar di Johor, Najib bebas.
“Jadi, Najib bebas hari ini tak? Sekitar pukul berapa?” katanya menerusi hantaran tersebut.
Hantaran itu mendapat perhatian pengguna media sosial apabila mencatatkan lebih 18,000 tanda suka, 1,300 komen dan lebih 600 perkongsian dalam tempoh sejam selepas dimuat naik.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna turut memberikan pelbagai reaksi dan maklum balas berhubung hantaran berkenaan.
Seorang pengguna, John Labu menyifatkan hantaran tersebut sebagai sindiran tajam.
“Baekkkkk (baik) punya sindir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali Clement Thong turut meninggalkan ucapan sokongan kepada bekas Presiden UMNO itu.
“Selamat kembali Najib. Masih yang terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














