MELAKA – Taburan hujan di beberapa kawasan di negeri ini hari ini direkodkan melebihi kejadian Ribut Senyar pada November tahun lalu sehingga mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kejadian banjir pada hari ini berpunca daripada hujan lebat berterusan yang bermula sejak awal pagi tadi.
Menurut beliau, sehingga pukul 2.30 petang, beberapa stesen hujan merekodkan jumlah taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm), dengan bacaan tertinggi dicatatkan di Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang iaitu sebanyak 158mm.
“Selain itu, Empangan Bertam Hulu merekodkan taburan hujan sebanyak 132mm. Di daerah Alor Gajah pula, Stesen Hujan Solok Duku merekodkan bacaan 150mm manakala Stesen Hujan UiTM Lendu mencatatkan 141mm,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, jumlah taburan hujan yang direkodkan ketika kejadian Ribut Senyar pada 28 November 2025 mencatatkan sebanyak 147mm.
“Ini menunjukkan hujan yang turun hari ini adalah lebih lebat berbanding ketika Ribut Senyar, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air,” katanya. – KOSMO! ONLINE















