MEMILIKI kenderaan Mercedes-Benz bukan sekadar mengenai prestij atau minat terhadap jenama automotif premium. Sebaliknya, ia mampu menjadi platform untuk membina persahabatan, mengeratkan silaturahim dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan peminat jenama dari Jerman itu.
Itulah yang dibuktikan menerusi penganjuran konvoi myMERC Tour De Malaya 2026 yang menghimpunkan pemilik dan peminat Mercedes-Benz dari seluruh negara dalam satu pengembaraan merentasi Semenanjung Malaysia.
Program yang berlangsung selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Jun lalu itu melibatkan perjalanan merentasi negeri Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka.
Dianjurkan oleh komuniti myMERC, konvoi berkenaan bukan sekadar membawa peserta menikmati pemanduan jarak jauh, malah menjadi medan bertukar pengalaman mengenai pemilikan, penyelenggaraan, alat ganti serta aspek teknikal kenderaan Mercedes-Benz.
Seramai 10 pemilik kenderaan mengambil bahagian sepanjang konvoi itu dengan membabitkan pelbagai model Mercedes-Benz popular terdahulu seperti W221, W140, W212, W210, W205, W204 dan SLK.
Sementara itu, sebuah kereta Toyota Corolla Cross turut menyertai konvoi tersebut sebagai kenderaan sokongan.

Presiden myMERC Malaysia dan myMerc Malaysia, Ahmad Suhaimi Ya’akub atau dikenali sebagai Pok Mie berkata, program berkenaan bertujuan menghimpunkan pemilik pelbagai model Mercedes-Benz bagi mengukuhkan hubungan persahabatan, di samping memupuk budaya pemanduan berhemah dalam kalangan ahli.
“Jelajah ini menjadi bukti bahawa kenderaan Mercedes-Benz yang berusia lebih 15 tahun masih mampu memberikan prestasi baik untuk perjalanan jauh sekiranya diselenggara dengan sempurna.
“Aktiviti ini bukan sekadar menguji ketahanan kenderaan, malah menyemai semangat pemiliknya. Ada dalam kalangan peserta yang berusia, namun mereka tetap bersemangat mengharungi setiap fasa perjalanan bersama-sama,” katanya kepada CitaRasa.
Konvoi itu bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh, Alor Setar dan Perlis, sebelum meneruskan perjalanan ke Banding, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Johor Bahru serta Melaka.
Di setiap destinasi, peserta berpeluang menikmati keindahan landskap tempatan, mengunjungi lokasi bersejarah dan merasai pelbagai hidangan istimewa yang menjadi identiti setiap negeri.

Program berkenaan turut mendapat sambutan daripada ahli myMERC dari zon Utara, Tengah dan Selatan bagi memeriahkan beberapa lokasi persinggahan.
“Ketika konvoi ini berlangsung, semua peserta sanggup menunggu seorang ahli yang lewat tiba dari Pengkalan Hulu sebelum meneruskan perjalanan bersama.
“Dalam kejadian lain pula, sebuah kenderaan mengalami tayar bocor pada waktu malam ketika hujan renyai. Tanpa berfikir panjang, semua peserta berhenti membantu sehingga masalah diselesaikan.
“Tiada seorang pun meninggalkan rakan mereka, sebaliknya semua menunggu sehingga tayar berjaya diganti, sebelum meneruskan konvoi,” katanya.
Pengalaman itu membuktikan bahawa nilai persahabatan dan semangat saling membantu menjadi tunjang utama komuniti myMERC.
Setiap perjalanan bukan sekadar mengumpul kilometer tetapi mencipta kenangan, sekali gus memperkukuh ukhuwah dan membina komuniti yang saling menyokong tanpa mengira usia mahupun latar belakang.















