BUKIT KAYU HITAM – Pelancong Malaysia yang menuju ke Hatyai dan beberapa destinasi lain di selatan Thailand mula menggunakan laluan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang dibuka secara rasmi hari ini.
Tinjauan mendapati pengguna jalan raya mula melalui laluan tersebut seawal pukul 6 pagi selepas ia dibuka kepada orang ramai, sekali gus menandakan bermulanya era baharu pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
Rata-rata pengguna menyambut baik pembukaan laluan baharu itu kerana diharapkan dapat melancarkan perjalanan selain mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di pintu sempadan lama Bukit Kayu Hitam-Danok, terutama pada musim cuti dan hujung minggu.
Seorang pelancong dari Pulau Pinang, Mohd. Faizal Ahmad, 42, berkata, laluan baharu itu lebih teratur dan memberi keselesaan kepada pengguna yang ingin memasuki Thailand.
“Proses perjalanan nampak lebih lancar dan tersusun. Kalau sebelum ini, kesesakan agak teruk terutama ketika musim cuti sekolah. Saya percaya laluan baharu ini akan membantu mempercepatkan perjalanan ke Hatyai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi Nurul Syafiqah Abdullah, 35, dari Sungai Petani, pembukaan laluan baharu itu memberi pengalaman yang lebih selesa kepada pelancong yang sering berulang-alik ke Thailand.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul merasmikan jajaran baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao.
Laluan tersebut dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan operasi sempadan, mempercepatkan pergerakan rakyat dan barangan serta mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama antara kedua-dua negara.
Bagi rakyat Thailand yang kerap berulang-alik merentasi sempadan, Mat Li Daman, 59, berkata, CIQ Sadao baharu lebih selesa kepada pelancong terutama rakyat Malaysia yang kerap bercuti ke negaranya.
“Bangunan baharu ini lebih besar dan dilengkapi kemudahan yang baik untuk mereka menyelesaikan urusan dokumentasi termasuk mengisytihar kemasukan kereta berbanding di kaunter lama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















