KUALA LUMPUR – Menjadi penerima Anugerah Ikon Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi dan komposer, Hael Husaini berterima kasih kepada AJL kerana menjadi penyebab untuk terus mengorak langkah dalam bidang muzik ketika dia hampir putus asa.
Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 39, berkata AJL edisi ke-32 yang mengangkat lagu ciptaannya berjudul Jampi menjadi titik tolak namanya dikenali sebagai penyanyi dan komposer yang disegani.
“Sejujurnya saya tidak jangka untuk menerima penghargaan ini kerana mungkin saya masih terlalu muda.
“Saya sebagai manusia yang hampir berputus asa dalam industri muzik pada masa itu tiba-tiba diangkat sebagai pemenang AJL32.
“Disitulah detik permulaan seorang manusia yang bernama Hael Husaini memulakan karier sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik,” katanya sewaktu menerima trofi Ikon AJL sewaktu majlis AJL40 Pandangan Pertama baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kejayaan yang diraihnya di pentas AJL memberikan dia peluang u untuk berkongsi rezeki dan bakatnya dengan penyanyi-penyanyi lain yang menyanyikan lagu ciptaannya.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan artis yang pernah memberikan kepercayaan kepada saya.
“Tidak dilupakan kepada Media Prima yang sentiasa membuka ruang untuk saya berkarya,” jelasnya.
Bekas peserta Akademi Fantasia 2013 itu turut menitipkan pesanan kepada mana-mana individu yang hampir berputus-asa agar percaya kepada rezeki Allah.
“Mungkin akan ada masa kita berputus asa. Tetapi kita terus percaya dengan usaha keras serta percaya kepada Allah. Rezeki akan datang pada waktu yang tepat.
“Kepada finalis AJL40, rakan komposer dan penulis lirik, saya doakan anda juga akan dapat merasa apa yang saya rasakan,” ujarnya.
Selain Hael, penyanyi dan komposer Faizal Tahir turut menerima penghargaan sama pada majlis tersebut.
Sepanjang berkarya, Hael pernah dua kali bergelar juara di pentas AJL menerusi edisi ke-32 dengan lagu Jampi dan edisi ke-33, Haram duet bersama Dayang Nurfaizah.
Pada AJL ke-39 pula, lagu ciptaannya iaitu Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera Zaini diangkat sebagai naib juara. – KOSMO! ONLINE















