KUALA LUMPUR – Aktiviti persundalan yang menawarkan khidmat seks wanita warga asing di sebalik sebuah hotel tiga bintang di Jalan Cheras di sini terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, semalam.
Operasi bermula pukul 1.05 pagi, beberapa wanita warga asing yang berpakaian seksi didapati sedang melayan pelanggan di bilik yang disediakan, manakala sebuah lagi bilik dipercayai dijadikan tempat mereka berehat sementara menunggu pelanggan.
Difahamkan, sindiket itu menawarkan khidmat seks menerusi aplikasi media sosial dengan pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM230 sebelum urusan diatur oleh seorang lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai ‘kapten’.
Seorang wanita warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Aqis, 21, mendakwa tiba di Malaysia pada April lalu menggunakan pas pelancong selepas ditawarkan pekerjaan oleh rakannya.
“Kawan beritahu ada kerja di sini. Biasanya seorang pelanggan sahaja sehari. Saya dapat komisen kira-kira RM100 bagi setiap pelanggan. Tolonglah cik, saya tak tahu. Saya memang sudah bercadang mahu pulang ke kampung,” katanya.
Seorang wanita tempatan yang bekerja di kaunter hotel berkenaan pula turut mengakui mengetahui kegiatan tidak bermoral itu, namun enggan mengulas lanjut.
“Saya sudah bekerja di sini selama setahun. Ya, memang ada kegiatan mereka ini,” katanya.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, seramai lapan individu ditahan dalam operasi berkenaan membabitkan enam wanita dan dua lelaki.
Katanya, enam wanita itu terdiri daripada lima warga Indonesia dan seorang warga Thailand, manakala dua lelaki ialah seorang warga tempatan yang disyaki berperanan sebagai ‘kapten’ serta seorang warga Nepal yang bekerja di hotel berkenaan.
“Hasil semakan mendapati warga asing terbabit dipercayai melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas yang diberikan,” jelasnya.
Menurut beliau, JIM Kuala Lumpur akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. – KOSMO! ONLINE















