RANTAU PANJANG – Cubaan seorang ‘transporter’ untuk menghantar sebanyak 700 kilogram (kg) durian seludup ke premis jualannya yang terletak kira-kira 70 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand gagal selepas dicekup di pangkalan haram Abe Li Posmen di sini kelmarin.
Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 7.15 malam selepas memunggah kesemua buah-buahan tersebut ke dalam sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA melihat sebuah trak pikap berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram yang terletak di tebing Sungai Golok itu semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Katanya, pemeriksaan pada bahagian tempat duduk belakang dan muatan kenderaan itu menjumpai sebanyak 700 kg buah durian dianggarkan bernilai RM 3,500 yang tiada sebarang dokumen sah.
“Pemandu trak pikap itu memaklumkan kesemua buah durian tersebut ditempah oleh majikannya yang dikenali sebagai Kak Ya. Lelaki itu hanya ditugaskan untuk mengambil kesemua buah durian tersebut sebelum membawanya ke tempat jualan di Pasir Puteh dekat sini.
“Durian itu dipercayai berada di tebing sungai dan beberapa lelaki sudah menunggu untuk mengangkut buah tersebut ke dalam muatan trak pikap dipandu suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, lelaki yang berasal dari Kampung Gong Ketereh, Pasir Puteh itu memaklumkan dia baru pertama kali menjejakkan kaki ke pangkalan haram berkenaan dan menggunakan aplikasi Waze ke lokasi tersebut untuk tujuan mengambil buah durian.
Menurutnya, siasatan mendapati, suspek merupakan pekerja sambilan kepada Kak Ya dan menerima upah secara harian sebanyak RM60 hingga RM70 sehari bergantung kepada hasil jualan durian.
Tambahnya, kesemua buah durian termasuk trak pikap dipandu suspek dibawa ke Kompeni Taktikal PGA Taman Bakti di sini untuk proses dokumentasi dan kes disiasat Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167). – KOSMO! ONLINE















