fbpx
JOEHARI mampu beroleh hasil sehingga RM1,000 sehari menerusi operasi Char Kuey Teow Tukugho di Kampung Changkat Madrasah, Batu Kurau.

Goreng char kuetiau punca rezeki Joehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LARUT – Kemahiran menggoreng char kuetiau menjadi pendorong kepada seorang lelaki di Kampung Changkat Madrasah, Batu Kurau di sini untuk memulakan karier dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

Menurut Joehari Sapin, 50, dia mula menjual char kuetiau sejak tahun 2012 di pekan Batu Kurau di bawah nama Char Kuey Teow Tukugho setelah yakin dengan kebolehannya untuk menyediakan juadah tersebut.

“Saya bukanlah tiba-tiba pandai masak char kuetiau, sebaliknya kemahiran diperoleh ini adalah menerusi sesi pembelajaran dengan mereka yang mahir memasaknya, antaranya rakan saya sendiri.

“Alhamdulillah, sejak mula berniaga, saya tidak lagi makan gaji kerana rezeki yang diperoleh menerusi perniagaan ini sudah mencukupi bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, sebelum berniaga, dia pernah melakukan beberapa jenis pekerjaan bagi mencari rezeki seperti pengawal keselamatan dan bekerja di kedai perkakas rumah.

Katanya, dia memutuskan untuk beroperasi di tanah milik keluarga di Kampung Changkat Madrasah sejak Mac tahun lalu ekoran kadar sewa yang tinggi di pekan Batu Kurau.

Pada masa sama katanya, program Proper A di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah banyak memberinya pendedahan kepada industri F&B.

Joehari mula mengikuti program tersebut pada pertengahan 2024 dan menyifatkan ilmu yang dipelajari membantu meningkatkan kualiti dan kecekapan perniagaannya.

“Apabila kita mengikuti program tersebut, kita bukan hanya belajar teknik untuk memasak, malah pelbagai lagi aspek yang menjadikan perkhidmatan ditawarkan seorang usahawan itu lebih bermutu.

“Sebagai contoh, saya turut mempelajari aspek berhubung aliran tunai dalam perniagaan serta kaedah-kaedah untuk mengembangkan bisnes, selain perakaunan,” katanya.

Bahkan katanya, MAIPk turut membantu perniagaan dengan menyediakan meja, kerusi serta dapur yang sehingga ke hari ini masih digunakan di gerainya.

Dalam pada itu, Joehari berkata, dia kini mampu memperoleh sehingga RM1,000 sehari terutamanya pada musim perayaan apabila orang ramai yang memasuki kampung berkenaan mengambil kesempatan untuk mengunjungi gerainya.

“Saya memang bersyukur kerana rata-rata pelanggan yang datang ke kedai ini akan mengulangi kunjungan mereka untuk menikmati char kuetiau di sini,” katanya.

Program Proper A MAIPk menepati flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pemboleh dayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN