PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Labuan hingga pukul 2 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kerian, Bagan Datuk dan Hilir Perak di Perak.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Sabak Bernam dan Kuala Selangor), Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin), Melaka (Alor Gajah dan Jasin) dan Johor (Kota Tinggi),” katanya.
Tambah MetMalaysia, di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat.
“Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan,” jelasnya.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














