PETALING JAYA – Aktres Fasha Sandha sudah mempersiapkan dirinya dengan mental kuat dalam berdepan pelbagai bentuk kecaman termasuk berkaitan isu penampilan tidak bertudung dalam beberapa buah drama yang kerap menjadi perdebatan ramai sejak kebelakangan ini.
Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 42, berkata, memilih untuk tidak terlalu melayan setiap kata-kata negatif yang dilemparkan terhadapnya dan perkara tersebut sudah dipraktikkannya sejak bergelar anak seni.
“Saya okey saja dan untuk berada dalam Industri terus seni tanah air.
“Saya sendiri yang memilih untuk berada dalam industri ini dan menjadi seorang pelakon.
“Jadi, mental saya sudah kuat untuk menerima segala kecaman dan teguran para netizen. Pada saya mereka mengambil berat,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran Astro Fandom baru-baru ini.
Dia juga menerima segala teguran dengan berlapang dada kerana merasakan semua itu adalah kasih sayang daripada peminat.
“Saya ambil semuanya dari sudut positif dan anggap mereka ambil berat.
“Kalau nak menjadi seorang pelakon atau selebriti, kena ada mental yang kuat dan bersedia dengan macam-macam kecaman dan sebagainya.
“Saya hanya lakukan tugas sebagai pelakon dan beri yang terbaik. Harap setiap karya lakonan dapat berikan mesej positif kepada penonton,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia masih kekal dengan pendirian tidak mahu mengulas mengenai keputusannya menanggalkan tudung menerusi beberapa adegan dalam drama lakonannya termasuk yang terbaharu, Kasih Yang Terkorban lakonan bersama Datuk Jalaluddin Hassan dan Johan As’ari.
“Masih tiada komen mengenainya sebab saya rasa perkara itu tidak memerlukan sebarang penjelasan.
“Kalau saya jelaskan, ada yang anggap itu salah kerana pemahaman dan kepercayaan setiap individu berbeza.
“Jadi, lebih baik saya simpan semua alasan itu sendiri. Kalau mereka sayangkan saya, tiada penjelasan yang diperlukan,” ujarnya.
Sebelum ini, namanya sering menjadi bualan ramai apabila memilih untuk tidak memakai hijab dalam beberapa buah drama lakonannya seperti Doa Yang Terlindung dan Puteri Kembang Malam.
Meski sering muncul dengan penampilan sebagai wanita berhijab, tindakannya membuka tudung dalam drama mencetuskan pertikaian ramai.
Dia bagaimanapun sehingga hari ini tidak memberi sebarang penjelasan kukuh mengenai perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE














