PETALING JAYA – Penggunaan Bahasa Melayu perlu diutamakan secara mutlak dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32).
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu surat edaran memaklumkan penekanan itu turut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam.
Menurut JPA, jabatan itu sebelum ini turut mengeluarkan Surat Edaran JPA.100-9/1/1 JLD.2 (80) bertarikh 29 Oktober 2025 berhubung penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada 8 Julai lalu turut memberi penekanan terhadap perkara itu.
“Bahasa Melayu perlu diutamakan secara mutlak dalam setiap pembentangan mahupun klip video rasmi, persembahan montaj, video korporat serta apa-apa bahan komunikasi bagi menyebarkan dasar-dasar kerajaan,” menurut surat edaran itu, hari ini.
Sehubungan itu, JPA memaklumkan langkah memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam akan dipertingkatkan, khususnya dalam pembentangan mesyuarat rasmi serta penganjuran program seperti latihan, seminar dan lain-lain.
Selain itu, pengauditan dan pemantauan terhadap pemerkasaan penggunaan Bahasa Melayu di kementerian dan jabatan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan kepada arahan tersebut.
Surat edaran berkenaan turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. – KOSMO! ONLINE














