ISKANDAR PUTERI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan supaya pelaksanaan e-Invois dikaji semula.
Ahmad Zahid berkata, ini kerana pelaksanaan e-invois dianggap amat menekan kumpulan komuniti perniagaan.
Jelasnya, beliau sendiri telah membawa cadangan itu ke dalam Mesyuarat Jemaah Menteri supaya soal bebanan oleh syarikat-syarikat yang terkena dengan pelaksanaan e-invois dapat dipertimbang semula oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.
“Atas desakan Barisan Nasional (BN) dan menteri-menterinya, disetujui oleh menteri-menteri daripada pelbagai parti, e-invois sudah dipersetujui untuk dikaji semula. Keprihatinan ini datang daripada kita.
“Ini adalah satu keputusan baik untuk seluruh masyarakat peniaga di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama masyarakat di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri, di sini malam tadi.
Yang turut hadir ialah calon BN DUN Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad.
Menurut Ahmad Zahid, langkah untuk mengkaji semula pelaksanaan e-Invois tersebut membawa ke arah penangguhan.
Beliau berkata, Kabinet juga memutuskan dasar caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing turut dikaji semula.
“Mana-mana syarikat atau industri yang menggaji atau mengambil pekerja asing dikehendaki mencarum kira-kira dua peratus gaji ke dalam KWSP.
“Kabinet memutuskan, atas permintaan kita (BN), supaya sumbangan dua peratus itu juga dikaji dan diberikan kemudahan.
“Kerana nampak dua peratus ini membebankan business community. Itu keputusan yang kedua (diputuskan kerajaan),” katanya.-KOSMO! ONLINE














