SELEPAS menghasilkan 12 pementasan, produksi Mask Team kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Tarik Picu yang membongkar sisi gelap manusia.
Mendapat sentuhan Fazleena Hishamuddin selaku pengarah, naskhah berkenaan bakal dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bermula 16 hingga 19 Julai ini.
Pementasan yang diterbitkan Juan Ab Aziz ini juga menjanjikan pengalaman teater yang mendebarkan, sarat emosi serta menyelami konflik masyarakat dengan realiti masa kini.
Naskhah tulisan Amar Amir tersebut direalisasikan dengan gabungan elemen drama, suspens dan tragedi sebagai tarikan utama.

Sarat emosi
Juan berkata, Tarik Picu diinspirasikan daripada situasi sebenar selain menyelitkan cabaran dihadapi masyarakat hari ini, khususnya golongan muda yang bergelut mencari hala tuju kehidupan.
“Teater Tarik Picu ini lahir daripada pemerhatian terhadap realiti di sekeliling kita.
“Kami mengangkat suara dan pengalaman yang mungkin pernah dilalui setiap insan terutama anak muda yang sedang mencari tempat mereka dalam dunia mencabar ini.
“Kami berharap penonton bukan sahaja dapat menikmati persembahan, bahkan membawa pulang persoalan dan renungan yang ditinggalkan kisah disajikan ini,” katanya.
Pelakon hebat
Pementasan tersebut diperkukuhkan dengan menampilkan pelakon hebat seperti Arfie Shah, Idan Aedan, Jay Iswazir, Khenobu dan Amalina Arham.
Menurut Juan, pemilihan barisan pelakon yang memberikan sepenuh penghayatan mampu menghidupkan lagi kisah penuh emosi mengenai itu.
“Naskhah ini menyentuh isu kesetiaan, maruah dan tekanan hidup mengisahkan sekumpulan individu yang terperangkap dalam kesan keputusan masa lalu sehingga memaksa mereka berdepan pelbagai ancaman dan dilema.
“Semakin mereka berusaha mencari jalan keluar, semakin rumit konflik yang perlu dihadapi. Saya yakin penonton mampu menyelami nilai kekeluargaan, persahabatan dan kepercayaan oleh barisan pelakon.
“Ada persoalan yang hanya dapat dirungkai pada akhir kisah. Apabila kepercayaan terhakis dan rahsia demi rahsia mula terbongkar, siapakah yang benar-benar terselamat?” ujarnya.
Tiket pementasan dijual pada harga RM58, RM88 dan RM108 menerusi platform OneTix.














