DUNIA perubatan pada hari ini bukan lagi sekadar berkisar kepada kepakaran klinikal dan kejayaan rawatan semata-mata, sebaliknya doktor serta petugas kesihatan kini berhadapan dimensi baharu yang semakin kompleks apabila risiko medikolegal menjadi sebahagian daripada cabaran harian mereka.
Peningkatan kes aduan, siasatan dan saman berkaitan rawatan menunjukkan bahawa landskap penjagaan kesihatan telah berubah seiring dengan perubahan tahap pengetahuan masyarakat, akses kepada maklumat serta kesedaran terhadap hak pesakit.
Perkembangan ini tidak semestinya menggambarkan kemerosotan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.
Sebaliknya, ia memperlihatkan perubahan hubungan antara doktor dan pesakit yang kini lebih bersifat dua hala.
Pesakit bukan sahaja mahu menerima rawatan terbaik, malah mengharapkan penerangan yang jelas, proses membuat keputusan yang telus dan penghormatan terhadap hak mereka.
Dalam keadaan ini, komunikasi berkesan menjadi elemen yang sama penting dengan kemahiran klinikal.
Menurut Pengasas IDEAL Advisory, Dr. Faizi Rosli, banyak pertikaian sebenarnya bukan berpunca daripada kelemahan rawatan, tetapi disebabkan dokumentasi yang tidak lengkap, kegagalan menjelaskan risiko rawatan, isu persetujuan pesakit serta salah faham berkaitan etika profesional.
“Hakikat ini memberi gambaran bahawa kepercayaan antara doktor dan pesakit tidak hanya dibina melalui hasil rawatan, tetapi juga melalui cara maklumat disampaikan dan direkodkan.
“Pampasan kecuaian perubatan yang mencecah jutaan ringgit turut memberi isyarat bahawa aspek medikolegal tidak boleh lagi dianggap sebagai isu sampingan dalam profesion kesihatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sebaliknya, Faizi menambah, ia perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja profesional bagi mengurangkan risiko kepada kedua-dua pihak terlibat.
Dokumentasi yang lengkap, komunikasi yang telus dan pematuhan terhadap etika bukan sahaja mampu melindungi petugas kesihatan, malah meningkatkan keselamatan serta keyakinan pesakit terhadap sistem penjagaan kesihatan.
Justeru katanya, penganjuran program yang meningkatkan kesedaran terhadap isu ini merupakan langkah proaktif yang tepat pada masanya.
“Pendedahan kepada situasi sebenar, simulasi prosiding tatatertib dan latihan berkaitan etika klinikal dapat membantu petugas kesihatan memahami implikasi setiap keputusan yang dibuat dalam amalan harian.
“Secara keseluruhannya, cabaran medikolegal perlu dilihat sebagai pemangkin kepada peningkatan standard profesionalisme, bukannya ancaman kepada profesion perubatan,” ujarnya.
Katanya, apabila doktor bukan sahaja mahir merawat tetapi juga cekap berkomunikasi, mendokumentasikan rawatan dan memahami tanggungjawab etika serta undang-undang, manfaat akhirnya akan dinikmati oleh pesakit melalui sistem penjagaan kesihatan yang lebih selamat, telus dan berpusatkan kepentingan mereka.














