TUMPAT – Seorang mekanik direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol dan samun melibatkan seorang remaja di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang pada bulan lalu.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Selasa depan terhadap suspek yang berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun hingga menyebabkan kecederaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret Tumpat di sini kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki trak polis.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kegembiraan seorang remaja yang berjoging bersama adik lelakinya bertukar tragedi apabila mangsa dirogol sebelum dipukul dan dirompak seorang lelaki di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang di sini pada 17 Jun lalu.
Remaja berusia 15 tahun itu cedera pada bahagian muka, kepala dan badan ditemui oleh orang awam di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an mencari remaja itu pada pukul 10 pagi apabila anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar beriadah kira-kira pukul 7 pagi.
Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar selain mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan.
“Siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang tidak dikenali bertindak memukul mangsa pada bahagian muka dan kepalanya menggunakan sebatang kayu. Remaja itu dipercayai dirogol di lokasi kejadian sebelum telefon bimbitnya turut dilarikan oleh suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE














