fbpx
RAHMAT (Gambar kecil) mendedahkan sindiket berupaya menghasilkan suara, wajah dan video yang kelihatan asli menggunakan teknologi AI bagi memperdayakan orang ramai. – GAMBAR JANAAN AI

Scammer guna AI, sukar beza mana betul, mana palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sindiket pe­nipuan yang sebelum ini hanya bergantung kepada panggilan telefon untuk menyamar sebagai pegawai bank atau polis kini se­langkah lebih maju apabila mereka semakin berani menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semata-mata untuk memperda­yakan orang ramai.

Perkembangan pesat AI ini dimanipulasi oleh penjenayah siber dengan cara menghasilkan suara, wajah dan video palsu yang hampir mustahil untuk dibezakan dengan yang asli.

Mendedahkan perkara itu, Duta Anti Scam, Rahmat Fitri Abdullah berkata, teknologi AI telah mengubah landskap jenayah scam apabila identiti seseorang kini boleh dipalsukan dalam tempoh yang singkat.

Menurut beliau, sindiket mampu menghasilkan suara yang menyerupai individu sebenar, menukar wajah ketika panggilan video dan mencipta rakaman yang kelihatan asli bagi mempengaruhi mangsa supaya mempercayai apa yang dilihat.

“Sekarang mereka boleh tukar suara, tukar wajah dan menghasilkan video palsu menggunakan AI.

“Mangsa yang menerima panggilan video mungkin melihat wajah yang bukan wajah sebenar scammer,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, penggunaan AI menyebabkan jenayah scam berkembang seiring kemajuan teknologi dan menjadi semakin kompleks.

Katanya, teknologi yang semakin canggih akan menyukarkan orang ramai membezakan antara maklumat sahih dengan kandungan yang telah dimanipulasi.

“Scam tidak akan hilang sepenuhnya. Ia akan terus berkembang seiring perkembangan teknologi. Apabila AI semakin canggih, rakyat semakin sukar membezakan mana yang betul dan mana yang palsu,” katanya.

Beliau menambah, langkah paling berkesan untuk melin­dungi masyarakat tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada teknologi keselamatan.

Sebaliknya, beliau berkata, ilmu pengetahuan dan kesedaran pengguna merupakan benteng paling kuat dalam menghadapi ancaman scam.

Katanya, individu yang memahami modus operandi sindiket lazimnya lebih sukar diperdaya walaupun berdepan pelbagai helah penipuan moden.

“Kalau kita kumpulkan semua rakyat Malaysia yang tidak pernah menjadi mangsa scam dan tanya kenapa mereka tidak kena scam, jawapannya ialah ilmu.

“Mereka tahu panggilan itu scam, mesej itu scam dan pautan itu berbahaya. Ilmu itulah benteng paling kuat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan, ins­titusi pendidikan, syarikat telekomunikasi dan keluarga perlu memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuhkan literasi digital masyarakat.

“Human firewall atau benteng manusia adalah pertahanan ­paling penting. Yang jawab panggilan telefon ialah kita, yang tekan pautan ialah kita dan yang memindahkan wang juga ialah kita. Sebab itu pendidikan dan kesedaran perlu menjadi keutamaan,” katanya.

Rahmat turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang panggilan, mesej atau video yang mendesak mereka membuat keputusan segera, terutama ­melibatkan urusan kewangan.

Katanya, dalam era AI, sikap sentiasa menyemak, mengesahkan dan berfikir sebelum bertindak merupakan senjata paling berkesan untuk memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kepada scammer yang kini semakin pintar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN