PETALING JAYA – Kehilangan sebelah kaki selain memiliki suami yang cacat penglihatan serta membesarkan dua anak istimewa bukan alasan buat seorang guru untuk menyerah kalah dalam kehidupan.
Sebaliknya, semua ujian itu menjadi sumber kekuatan buat Maslizah Maseh, 55, yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup, Bagan Datuk untuk terus bangkit menunaikan tanggungjawab sebagai pendidik selama hampir tiga dekad.
Di sebalik senyuman yang kerap terukir di wajahnya, tersimpan kisah pengorbanan hidupnya selepas menjalani amputasi kaki kanan dari bahagian lutut ke bawah pada 2019.
Kehilangan anggota badan itu mengubah rutin hariannya secara drastik dan memerlukan beliau menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Lebih mencabar, ketika dirinya berusaha menyesuaikan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU), beliau masih perlu membantu suami, Mohd. Azmi Abd Rahim, 57, seorang pesara guru yang mengalami masalah penglihatan akibat glaukoma sejak berusia 14 tahun.
Menurut Maslizah, keadaan itu menjadikan kehidupan mereka sekeluarga berbeza berbanding kebanyakan keluarga lain, namun ia tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan hidup seperti biasa.
“Suami saya juga seorang guru, tetapi kini sudah bersara. Walaupun dia tak nampak dan saya pula tak boleh bergerak seperti dahulu, kami saling membantu dan memahami antara satu sama lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ujarnya, ketika itu perasaan rendah diri sering menghantui dirinya sehingga berasa segan untuk bergaul dengan orang lain dan warga sekolah, malahan timbul perasaan tak suka diziarah.
“Mula-mula memang rasa tersisih. Kadang-kadang nak makan di kantin pun rasa malu dan kurang yakin dengan diri sendiri,” ujarnya yang mesra disapa sebagai Kak Mas.
Katanya, tempoh paling sukar ialah selepas menjalani pembedahan apabila beliau terpaksa menggunakan kerusi roda
sebelum menerima kaki palsu beberapa bulan kemudian.
Bagaimanapun, semangat untuk kembali mengajar membuatkan beliau nekad belajar berdikari termasuk menggunakan ‘walker frame’ untuk bergerak sendiri di rumah.
Selepas lebih enam bulan menjalani fisioterapi dan latihan, dia akhirnya dapat menggunakan kaki palsu sebelum kembali ke sekolah untuk mengajar.
Namun, cabaran hidup wanita itu tidak terhenti di situ apabila dua daripada enam anaknya turut disahkan sebagai OKU.
Anak keempatnya mengalami cerebral palsy, manakala anak bongsu mempunyai masalah pembelajaran yang memerlukan perhatian dan pemantauan berterusan.
Beliau terus memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai guru Bahasa Melayu dan terkenal sebagai pendidik yang gemar mengajar kelas-kelas belakang yang sering dianggap mencabar.
Katanya, beliau percaya setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri jika diberi peluang dan pendekatan yang sesuai.
“Saya suka kelas belakang. Cabarannya lebih besar. Kalau pelajar tak boleh buat karangan, saya bimbing daripada asas hingga mereka mampu menulis sendiri dan berusaha menghasilkan modul-modul yang sesuai,” katanya.
Kesungguhan dan komitmen luar biasa itu akhirnya mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Berwibawa – Guru OKU Berwibawa Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan Ke-55 baru-baru ini.
Katanya, seluruh ahli keluarganya yang sentiasa berada di sisi ketika beliau berdepan saat paling sukar dalam hidup, selain suami dan anak-anak yang menjadi sumber kekuatan diri.
“Kekurangan fizikal bukan alasan untuk berhenti hidup dan berhenti berjaya. Kami tidak sempurna, tetapi kami saling melengkapi,” tambahnya.














