DI sebalik dentuman lesung dan antan yang menghasilkan irama tersendiri, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan membuktikan bahawa seni warisan mampu hidup apabila dipelihara generasi muda.
Kumpulan Citra Warisan Tumbuk Kalang sekolah itu kini bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sekolah, malah turut mendapat perhatian pelbagai pihak apabila diiktiraf sebagai Program Perintisan Seni Budaya Tumbuk Kalang di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan sejak tiga tahun lalu.
Untuk makluman, tumbuk kalang ialah sejenis ensembel muzik dan permainan rakyat tradisional Melayu yang sangat sinonim dengan Negeri Sembilan, khususnya di daerah Tampin, Gemenceh, dan Seri Menanti.
Menurut salah seorang ahli kumpulan, Qudsiyyah Munawarah Muhammad Suhaimey, 16, penglibatan dalam kumpulan itu sejak tingkatan satu membuka peluang untuk mengenali salah satu khazanah budaya yang kurang diketahui masyarakat.
“Saya menyertai kumpulan ini pada awal tahun 2022. Pada mulanya, saya agak keliru kerana tidak begitu mengenali seni warisan tumbuk kalang, tetapi lama-kelamaan saya sedar bahawa kami sebenarnya membawa satu warisan kebudayaan Negeri Sembilan yang hampir tenggelam.
“Dalam kumpulan ini, saya memainkan peranan sebagai pemain lesung atas. Tidak terlalu sukar kerana hanya perlu mengikut rentak. Apa yang lebih penting, kami dapat memperkenalkan budaya negeri ini kepada masyarakat luar.
“Ramai yang sebelum ini tidak tahu mengenai tumbuk kalang, tetapi selepas melihat persembahan kami, mereka mula bertanya dan ingin mengenalinya dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui K-Remaja baru-baru ini.
Ujar pelajar aliran Sains Tulen itu lagi, dia amat berharap agar generasi muda dapat terus mempertahankan seni warisan tersebut, biarpun selepas tamat persekolahan.
“Saya berharap kumpulan ini terus maju dan generasi selepas kami akan meneruskan perjuangan memelihara seni tumbuk kalang supaya tidak ditelan zaman,” ujarnya.
Bagi seorang lagi pelajar, Muhammad Naqib Azfar, 15, minatnya terhadap tumbuk kalang lahir daripada keluarganya sendiri.
“Arwah datuk saya, Bahari Silong merupakan pengasas kumpulan ini di Gemencheh ketika awal 70-an.
“Malah nenek saya, Habibah Jaudin merupakan penyanyi bagi kumpulan berkenaan. Kedua-duanya merupakan guru dan begitu bersemangat untuk mempertahankan warisan alat muzik rakyat Negeri Sembilan ini.
“Saya berharap usaha dilakukan oleh datuk dan nenek saya dapat diteruskan agar tumbuk kalang tidak pupus,” katanya.

Sementara itu, Guru Penasihat Kumpulan Citra Warisan Tumbuk Kalang, Harimah Bahari, 49, berkata, kumpulan tersebut sebenarnya bermula secara kecil-kecilan pada Ogos 2021.
“Pada asalnya, kami hanya mempunyai kumpulan caklempong. Kemudian, timbul idea untuk menambah alat muzik tumbuk kalang dengan meminjam peralatan daripada bapa saya, Bahari Silong. Ketika itu, hanya sekitar 20 pelajar terlibat.
“Persembahan pertama kami adalah semasa majlis persaraan guru, sebelum menerima jemputan daripada pelbagai jabatan kerajaan. Peluang membuat persembahan di Auditorium JKKN telah membuka mata banyak pihak,” katanya.
Menurutnya, pada tahun 2023, kumpulan tersebut dipilih oleh JKKN Negeri Sembilan untuk program perintisan seni budaya dan menjadi satu-satunya sekolah di negeri itu yang mempunyai kumpulan kesenian tumbuk kalang.
“Latihan dijalankan secara konsisten dengan bantuan jurulatih serta seorang lagi guru pembimbing, Siti Aisyah Achin Abdullah tiga kali seminggu pada sebelah petang. Ia bagi memastikan mutu persembahan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurut Harimah lagi, kumpulan berkenaan kini mempunyai 40 ahli yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.
“Keunikan persembahan kami turut mendapat pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Khas dalam Festival Simfoni kerana penggunaan alat muzik tumbuk kalang yang unik. Kumpulan ini memiliki 10 set alat muzik tumbuk kalang yang terdiri daripada empat lesung dan enam antan yang dimainkan serentak.
“Lesung asal diperbuat daripada kayu merbau, namun kini turut menggunakan kayu balau kerana kesukaran mendapatkan bahan asal,” katanya sambil memaklumkan, kumpulan tersebut sudah menerima lebih 50 undangan persembahan.














